Tuesday, December 8, 2009

nur dania safiya


Masa mengandungkan Sofea saya sangat aktif. Saya menjadi guru penasihat pasukan bola jaring sekolah. Kadang-kadang saya turut sama berlari dan melompat dengan pelajar. Masa tu saya tidak tahu saya mengandung. Habis pertandingan bola jaring baru saya tahu saya mengandung dua bulan.
Selepas itu saya terlibat dengan pasukan bahas dan pidato. Saya selalu menemani pelajar berlatih dan mengiringi mereka ke pertandingan. Semasa kandungan saya lapan bulan saya mengiringi peserta pidato peringkat kebangsaan selama lima hari di Putrajaya. Roomate saya semasa menginap di Hotel Empress Sepang sentiasa berjaga-jaga takut saya sakit perut hendak bersalin.
Hari kelima puasa saya sakit perut semasa berbuka puasa di Restoran Linda Onn ( My moms chicken rice kot) seksyen 7 Shah Alam. Saya masih bertahan tidak mahu ke hospital. Suami saya bekerja malam. Keesokannya lebih kurang pukul 5.00 petang barulah saya ke klinik bersalin An-Nur Seksyen 6 Shah Alam.
Masa saya sampai doktor masih belum datang. Masa tu bukaan baru 2cm. Selepas Maghrib barulah masuk ke labour room. Sepatutnya doktor datang pukul 9.00 malam tapi dia datang awal sedikit. Selepas azan Isyak lebih kurang pukul 8.23 malam Sofea selamat dilahirkan.
Beratnya cuma 2.83kg. Sakitnya Tuhan saja yang tahu. Banyak dosa dengan suami agaknya.
Semasa dalam pantang Sofea tidak banyak ragam. Masa tu saya ada pembantu tapi pada waktu siang sahaja.
Selepas dua minggu kelahiran suami saya menelefon dari pejabat pendaftaran. Sedang mengisi borang pendaftaran kelahiran. Lima minit sahaja kami berfikir memilih nama bayi.
Selepas habis pantang Sofea mula meragam. Dia selalu menangis sampailah sekarang. saya tidak tahu kenapa. Bangun tidur menangis, mandi menangis, makan menangis, pakai baju menangis.....
Tapi dengan pengasuhnya dia jarang menangis.
Sofea sangat menguji kesabaran saya. Dia sangat lasak. Pada usia sepuluh bulan dia sudah dapat berjalan. Tapi sampai sekarang masih belum dapat bercakap seperti rakan seusianya. Orang kata kalau cepat berjalan lambat bercakap.
Satu hari kawan dari kampung datang bermalam. Dia memuji saya kerana tahan dengan karenah Sofea. Masa tu umur Sofea setahun lebih dan saya tengah sarat mengandung anak ketiga.
Katanya memang sesuai Sofea jadi anak saya. Kalau jadi anak dia mesti dah glamer keluar TV kes ibu dera anak.
Sofea memang nakal. Seperti anak lelaki saya rasa. Kalau minum, air ditumpahkan. Kalau makan, makanan ditaburkan. Pantang buka pintu, terus meluru keluar tanpa kasut. Main segala macam benda. Pantang jumpa air, habis basah semua. Kalau mandi segala bear dimandikan bersama. Sabun kalau dibiarkan boleh habis satu botol.
Pendek kata, segala tempat dia panjat. Segala benda dia curahkan. Minggu lepas dia hancurkan compact powder saya.... hancur.
Hari ni paling sedih saya rasa. Kebetulan saya beli kek. Coklat Cheese Cake. Baru makan sepotong dengan anak-anak. Saya letak di meja makan. Baru tadi perasan, saya terlupa anniversary perkahwinan kami pada 30 November. Hari ni dah 8 haribulan baru saya teringat.
Nasib baik beli kek. Saya dah sms suami pasal hal tu.
Sofea dan kakaknya sedang menonton TV rancangan kegemaran mereka "Shaun The Sheep".
Saya naik ke atas memasang cadar bilik mereka. Dalam sepuluh minit rasanya. Bila saya turun Sofea sedang meramas kek tadi. Dah tak nampak rupa kek, hancur lebur. Saya tak terkata. Sofea tersengih-sengih menghulurkan tangan. Saya dukung Sofea ke bilik air dan basuh tangannya. Saya telefon suami dan mms gambar kek hancur.
Itulah Sofea, anak saya.